8 Jun 2007

paklah is now HAPPY. good for him.

in conjunction with pak lah's wedding with Jean Danker @ Jean Abdullah, Berita Harian had made an interview with the man himself, and here's the interview:

Wartawan: Pejabat Perdana Menteri hari ini mengeluarkan kenyataan mengenai Datuk Seri akan melangsungkan perkahwinan dengan Jeanne Abdullah, Sabtu ini. Boleh cerita lanjut mengenai berita gembira ini.

Abdullah: Alhamdulillah, saya rasa gembira, syukur kepada Allah SWT kerana orang pilihan saya itu telah mendapat restu daripada anak-anak saya dan juga adik-adik saya. Mudah-mudahan hari yang telah ditetapkan itu, akan diadakan nanti, insya-Allah, majlis akad nikah.

Wartawan: Kenapa pilih Sabtu?

Abdullah: Sabtu cuti, senanglah orang nak datang.

Wartawan: Datuk Seri, berbulan madu di mana nanti?

Abdullah: (Ketawa)... tak rancang pun lagi, belum, belum. Nak kena bincang dengan orang yang berkenaan.

Wartawan: Bila kali pertama Datuk Seri jumpa dengan bakal isteri ini?

Abdullah: (senyum)... dah lama dah sebab Jeanne adalah adik ipar Allahyarham Kak Endon.

Wartawan: Bila Datuk Seri melamar?

Abdullah: Saya ingin mengingati bila, saya cuba ingat bila.... saya pun tak ingat lagi dah

Wartawan: Apa yang membuatkan Datuk Seri tertarik kepada Jeanne?

Abdullah: (senyum) Oh yang tu ke... sebab ada hatikan. Saya ingat dia boleh jaga sayalah, boleh jadi teman sayalah.

Wartawan: Kenapa ambil masa yang lama untuk mengumumkannya kerana sebelum ini Datuk Seri kata ia hanya khabar angin?

Abdullah: Yalah... itu khabar angin. Bagaimanapun, perkara ini mengambil masa. Saya terpaksa berunding dengan anak-anak, adik-adik tanya. Lepas itu nak cari masa pula, saya terlalu sibuk sana sini. Itulah sebabnya.

Wartawan: Datuk Seri nanti akan bersanding?

Abdullah: Tak ada, orang tua kahwin.. (gelak)

Wartawan: Ada majlis resepsi untuk orang ramai?

Abdullah: Itu belum lagi, nantilah. Banyak kawan-kawan nak jumpa.

Wartawan: Boleh Datuk Seri cerita sedikit mengenai karekter Jeanne, kerana kami tidak tahu. Lagi pun beliau bakal menjadi ‘first lady’?

Abdullah: Pertamanya, dia adalah orang yang cukup sederhana dan peramah juga kalau orang nak bercakap dengan dia. Dari segi... kalau nak ambil kira hubungan dia dengan orang yang datang ke rumah saya, dulu masa Kak Endon ada, dialah yang sentiasa menyambut kawan-kawan dan tetamu yang datang kerana ada mesyuarat dengan saya atau ada juga kadang-kadang pelawat dari luar negara, kawan dari luar negara, pegawai kerajaan. Jadi apabila semua orang ini datang, yang menjemput mereka di mana nak duduk, tanya apa nak minum, itulah peranan dilakukannya... macam Kak Endon juga. Rumah itu besar dan orang datang pun ramai. Di samping itu juga, ada masa perlu diadakan jamuan sama ada kecil atau besar, itu pun dia juga yang menguruskannya seperti mencari katerer, menentukan menu dan akan susun meja, kerusi semua. Jadi saya tengok dia dapat membawa diri dengan baik dan elok. Tidak ada apa-apa yang berlaku (menyebabkan) saya rasa nak marah ke apa. Jadi, sifat begitu pada saya adalah baik.

Wartawan: Berapa tahun dah kenal dengan Jeanne?

Abdullah: Kenal dah lama dah. Boleh jadi 20 tahun.

Wartawan: Merisik pula bila?

Abdullah: (gelak)... baru-barulah

Wartawan: Sudah setahun?

Abdullah: (senyum)... kurang sikit

Wartawan: Hantaran pula Datuk Seri, berapa banyak?

Abdullah: Tak ada, tak ada.... simple saja. Ini bukan nak kahwin kali pertama. Tak payah hantaran banyak-banyak.

Wartawan: Bagaimana penerimaan anak-anak Datuk Seri terutama Nori, apabila mengetahui mengenai perkara ini?

Abdullah: Terima dah, kalau tak terima hari ini tak jadilah.

Wartawan: Tetapi keluarga Datuk Seri pun kenal sangat dengan Jeanne?

Abdullah: Memang pun... dia sebenarnya keluarga sebab seperti yang saya katakan tadi, dia adik ipar Kak Endon, kahwin dengan adik lelaki Kak Endon, tetapi dah pun berpisah, dah lebih 15 tahun lamanya, bukan baru.

Wartawan: Allahyarham Datin Seri Endon dulu amat sayang dengan Jeanne?

Abdullah: Memang pun, kalau tidak Kak Endon tak suruh datang ke rumah untuk bekerja dengan dia dan diberi beberapa tanggungjawab dan dia perlulah laksanakan di rumah itu.

Wartawan: Ada yang kata, ini (berkahwin dengan Jeanne) wasiat daripada Allahyarham Kak Endon, betul ke?

Abdullah: Kak Endon tak adalah kata wasiat.

Wartawan: Pesanan atau cadangan Kak Endon, mungkin?

Abdullah: (Gelak)... Itu pun dia tak kata.

Wartawan: Jadi perkahwinan ini diadakan dengan cara sederhana saja?

Abdullah: Ya, lebih sederhana. Yang pertama (perkahwinan) tu, besarlah. Lepas itu kali kedua, kecil.... kali ketiga lain sikit, empat lain sikit (gelak).... ketiga, keempat tak ada dah. Kita henti setakat dua (gelak).

Wartawan: Ada rancangan nak bercuti selepas kahwin?

Abdullah: Belum ada rancangan cuti sebab lepas itu ada kerja. Saya nak pergi lawatan rasmi ke luar negara.

Wartawan: Jeanne bawa sekali?

Abdullah: Bawa sekalilah... dah ada teman (gelak).... ehh itu pun nak tanya (gelak lagi).

Wartawan: Bagaimana hubungan bakal isteri Datuk Seri dengan Nori?

Abdullah: Baik, baik, baik. Tak ada masalah.

Wartawan: Apa pesanan Datuk Seri kepada rakyat?

Abdullah: Selepas ini seperti biasa, saya akan pergi membuat lawatan, pergi ke merata tempat seluruh Semenanjung, Sabah dan juga Sarawak. Ada program yang saya pergi kerana dijemput untuk rasmi itu dan rasmi ini. Jadi masa pergi itu, bolehlah bawa (Jeanne). Bukanlah saya suruh mereka buat kenduri besar, nak terimalah... saya tak ada macam itu. Bila pergi boleh jumpa dan memang pun lawatan saya ke merata tempat ini memang kerap dan di mana sesuai, bolehlah bawa dia.

Wartawan: Datuk Seri dah tempah cincin?

Abdullah: Dah tempah, takkan tak tempah lagi, dah lewat.

Wartawan: Tetapi hubungan dan cinta Datuk Seri dengan Allahyarham Kak Endon begitu kuat, macam mana Datuk Seri boleh jatuh cinta dengan wanita lain?

Abdullah: Secara jujur saya katakan, sayang saya terhadap Endon tetap kuat. Tetapi saya percaya Tuhan mencipta banyak ruang dalam sanubari kita bagi berlainan orang untuk disayangi. Kita boleh sayangi ibu, anak, isteri, cucu, adik tetapi kita tidak dapat bandingkan kasih kita kepada ibu dengan kasih kepada isteri. Jeanne adalah satu daripadanya... itu adalah kelebihan Allah. Dia mencipta keupayaan untuk kita menyayangi dan menjalin hubungan. Jadi biarlah di rumah tu, gambar-gambar Endon yang ada itu terus berada di situ, saya tak akan ubah sebab itu adalah ingatan memori yang abadi... nak tambah satu lagi (gambar), tak apa tambahlah (senyum).

Wartawan: Bakal isteri Datuk Seri ini, orang mana?

Abdullah: Orang Kuala Lumpur. Nama dia, kalau dieja j e a n n e, orang panggil ‘jean’. Ia adalah perkataan Perancis yang disebut sebagai ‘yeang’.

Wartawan: Dia ada anak?

Abdullah: Ya, ada dua anak perempuan, usia lewat 20an dah.

Wartawan: Datuk Seri panggil Jeanne dengan panggilan apa, sayang atau ‘darling’?

Abdullah: (Gelak).... nanti anda dengar i sebut macam mana. Tadi dalam mesyuarat Kabinet, macam-macam (tanya). Saya dah maklumkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hari ini dan lepas itu, dah maklumkan kepada Jemaah Menteri. Eloklah mereka tahu, lepas itulah kenyataan (mengenai perkahwinan) itu dikeluarkan, biarlah rakyat tahu, tiada apa nak sembunyikan, apa nak sorok-sorok.

Wartawan: Kepada rakyat, apa Datuk Seri harapkan?

Abdullah: Insya-Allah, mudah-mudahan mereka doakan kesejahteraan kami berdua. The Happy Prime Minister can do a lot of good work (Perdana Menteri yang gembira boleh melakukan banyak kerja yang baik). Yalah.... gembira dah ada teman.

Wartawan: Bagaimana majlis acara akad nikah Sabtu ini, apakah terbuka?

Abdullah: Ini terhad kepada keluarga yang terdekat, anak-anak saya, adik-adik saya dan suami isteri mereka. Lepas itu, sebelah Kak Endon, orang dia ramai... ada 11 orang semuanya tetapi kembar yang lain dah meninggal, Kak Endon dan kembarnya, ada sembilan lagi untuk bersama balu atau isteri, sebelah ibu mertua saya, besan saya dan anak-anaknya. Jadi itulah... cukuplah untuk menyaksikan apa yang berlaku dalam keluarga.

Wartawan: Selama ini Datuk Seri memang minat dengan madu lebah, apakah Datuk Seri masih mengambil madu lebah?

Abdullah: (Gelak)... Itu daripada dulu, sejak sekolah lagi saya makan sampai sekarang.


p/s: good for paklah. he seems happy. lets all pray for his happiness, and happiness to our country~ cheers to paklah~ many, many happy returns.


:: summer_breeze ::

No comments:

Post a Comment