6 Jul 2006

belangsungkawa ABDULLAH SALLEH

From mSTAR Online (mstar.com.my)



Belasungkawa ABDULLAH SALLEH (1926-2006)



23-06-2006 11:09:24 AM



KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Abdullah Salleh yang meninggal dunia hari ini merupakan pegawai kerajaan yang paling terkemuka yang telah berkhidmat bawah empat Perdana Menteri dan pernah menjadi ketua kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas kakitangan kerajaan yang kini ialah Perdana Menteri. Setelah dimasukkan ke hospital sejak tiga bulan lepas, Abdullah meninggal dunia akibat limpoma, sejenis kanser pada sel darah di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini pada kira- kira pukul 3.30 petang semalam. Abdullah yang datang dari keluarga bukan senang menjawat jawatan awam kerajaan yang paling tinggi pada 1976 dan dua tahun kemudian sebagai Pengerusi dan Ketua Eksekutif perbadanan minyak nasional Petronas yang baru ditubuhkan. Dilahirkan pada 24 Jun, 1936 di Kampung Padang Sebang, Alor Gajah, Melaka, semasa negara dalam pemerintahan penjajahan dan apabila kemiskinan masih lagi berlaku, Abdullah dapat mengharungi segala cabaran itu dalam hidupnya. Tujuh daripada adik-beradiknya meninggal dunia akibat difteria, ibu beliau meninggal dunia semasa wabak demam kepialu yang pada ketika itu beliau berada di darjah lima, tetapi tidak ada apa yang boleh menghalang beliau daripada mencapai cita- citanya untuk melanjutkan pelajaran bagi mendapatkan ijazah universiti, perang dunia meletus pada 1941-1945. Beliau dimasukkan di sebuah sekolah yang dikendalikan oleh rakyat Britain di bandar Melaka -- beliau satu-satunya pelajar Melayu di sekolah itu dengan berulang-alik menaiki keretapi dari Gadek dan kemudian berjalan kaki. Abdullah membayar yuran sekolah $2.50 sebulan dengan bapanya hanya bergaji $26 sebulan tetapi oleh kerana beliau cemerlang dalam pelajarannya pada tahun pertama, beliau diberikan persekolahan percuma. Dalam tahun kedua, beliau menjadi pelajar paling cemerlang dan diberikan biasiswa sebanyak $9 sebulan. Beliau meneruskan persekolahannya di Melaka High School, yang beliau sifatkan sebagai "salah sebuah sekolah terbaik di negara ini" dan berada dalam Darjah Tujuh sementara menungu ke Darjah Lapan apabila Perang Dunia Kedua apabila tercetus. Abdullah dapat melihat kedatangan tentera Jepun dan kejatuhan Singapura. Pada Ogos 1945 apabila tamatnya perang itu dengan Jepun menyerah diri, beliau menyambung semula persekolahanya yang tergendala. Setelah mencapai umur lebih 18 tahun, beliau melangkahi darjah lapan untuk terus ke darjah Sembilan bagi menduduki peperiksaan Sijil Persekolahan pada 1946. Tetapi pada tahun itu, bencana alam berlaku. "Saya dapati saya menghidapi batuk kering," beliau pernah memberitahu majalah perkhidmatan awam Malaysia yang dikeluarkan setiap tiga bulan. Beliau dimasukkan ke hospital selama tiga bulan dan sungguhpun ujian sputum membuktikan negatif, kesan sampingan wujud beberapa bulan kemudian apabila air mula meliputi paru-parunya. "Saya ingatkan saya akan mati, ia sangat teruk. Air terpaksa dipam keluar dua kali seminggu," beliau mengingatinya. Abdullah dimasukkan ke hospital selama dua tahun setengah dan setelah keluar hospital, beliau kembali ke sekolah setelah tidak mengambil peperiksaan pada 1946. Tetapi beliau memberitahu majalah itu bahawa pengetua sekolah tersebut enggan menerimanya kerana beliau melebihi usia dan hanya berlembut setelah dipujuk oleh seorang guru yang pernah mengajar beliau. Beliau menyertai Darjah Sembilan pada umur 22 tahun dalam kelas di kalangan pelajar berusia 17 dan 18 tahun. Sekali lagi, beliau cemerlang dengan memperoleh enam kepujian dalam Peperiksaan Sijil Persekolahan. Beliau memasuki Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), kolej yang terulung di negara ini untuk Tingkatan 6 dan kemudian Universiti Malaya ketika masih lagi dalam keadaan kesihatan yang belum pulih sepenuhnya, dan sebenarnya penyakit itu berulang lagi semasa di universiti.



Sungguhpun Abdullah dimasukkan ke hospital selama dua setengah bulan dan kemudian diletakkan di tempat pelajar sakit dan terpaksa meninggalkan pengajian untuk lima bulan, beliau masih mampu menerima ijazah daripada universiti
itu dengan Sarjana Muda (Kepujian) dalam Geografi.

Abdullah memulakan kariernya dalam perkhidmatan awam Johor kerana beliau terpaksa Berkhidmat di negeri itu disebabkan terikat dengan biasiswa Johor, jawatan pertama beliau ialah setiausaha jawatankuasa penganjur ulang tahun ke-
50 tahun pemerintahan Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Ini diikuti dengan beberapa pelantikan perkhidmatan awam dan kemudian dari 1959 hingga 1961, beliau ialah setiausaha sulit kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman.



"Sesalan saya yang paling besar ialah apabila Tunku meninggal dunia (1989), saya tidak ada untuk melihat wajahnya buat kali terakhir. Pada masa itu saya berada London. Saya menyesal sangat," beliau memberitahu majalah itu.

Kemudian beliau menjawat jawatan di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dengan arahan memastikan pelantikan biasiswa dan divisyen satu adil kepada calon Melayu.

Ini diikuti oleh pelantikan beliau sebagai Penolong Setiusaha kepada Kabinet. Abdullah, bersama dengan hakim Hashim Yeop Sani merangka Akta Bahasa Kebangsaan 1967, yang memperuntukkan Bahasa Malaysia ialah bahasa perantaraan di sekolah.

Beliau kemudian ditugaskan menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perantaraan dan dilantik sebagai pendaftar pertamanya oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak, satu pelantikan jawatan rendah walaupun memegang jawatan tinggi tetapi beliau tidak
menolaknya. Ini kerana beliau telah menolak tawaran Razak dalam dua perkara sebelum ini, pertama dalam 1963 ke Sabah sebagai Penasihat Ekonomi kepada ketika itu Ketua Menteri Tun Datu Mustapha dan kedua, untuk memujuk beliau
bertanding sebagai calon pada pilihan raya umum 1969 dan akan dilantik sebagai Ketua Menterinya.

"Sudah tentu, Tun Razak tidak akan menerima 'tidak' untuk jawapan buat kali ketiga ini," katanya memberitahu Khidmat. 



Penubuhan UKM menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan membuktikan satu tanggungjawab yang berat pada ketika hanya segelintir sahaja bangsa Melayu memiliki ijazah doktor falsafah dan sarjana untuk berkhidmat sebagai pensyarah tetapi masalah itu dapat diatasi dengan pengambilan pensyarah dari Indonesia.



Selepas pilihan raya umum 1974, Abdullah dijadikan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pada Mei 1976 setelah Tun Razak meninggal dunia, beliau menggantikan Tan Sri Kadir Shamsuddin sebagai Ketua Setiusaha Negara. Kadir ke Petronas sebagai pengerusinya yang pertama.

Pada akhir 1978 setelah bersara daripada perkhidmatan awam, Perdana Menteri ketika itu Tun Hussein Onn melantik beliau sebagai pengerusi dan ketua eksekutif Petronas berikutan kematian Kadir.

Abdullah sebelum itu mengemukakan beberapa nama kepada Perdana Menteri sebagai pengganti Kadir. Tetapi Hussein mahukan beliau untuk jawatan itu yang dipegangnya semasa berumur 53 tahun.

Banyak perkembangan di Petronas, dengan kakitangan antara 600 dan 700 orang, masih lagi dalam peringkat perancangan dan tugas pertama Abdullah ialah menubuhkan kilang Gas Cecair Asli (LNG) di Bintulu dan mendapatkan syarikat tenaga dan utiliti untuk mengeluarkan LNG. Abdullah juga menubuhkan kilang penapisan Petronas di Kertih, Terengganu dan berikutan itu satu lagi kilang penapisan di Melaka yang memberikan keutamaan untuk melatih rakyat Malaysia yang kemudian akan mengambil alih pengurusan kilang itu daripada pasukan pengurusan asing.

Hari ini, Petronas mempunyai kepentingan di lebih 30 negara dan salah satu syarikat minyak yang paling menguntungkan di dunia dan satu-satunya syarikat Malaysia yang disenaraikan dalam the Fortune 500.



Usia dan kesihatan menyebabkan Abdullah jauh daripada perhatian umum tetapi dari 1989 sehingga tahun lepas, beliau ialah pengerusi Yayasan Tun Razak, sempena nama Perdana Menteri kedua.



Pada 2003, Abdullah dianugerahkan dengan Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun, anugerah tertinggi persekutuan, dan menjadi bekas
Ketua Setiausaha Negara yang pertama dan satu-satunya yang pernah menerima gelaran itu.


No comments:

Post a Comment